Bismillah.
"Dan Yang menumbuhkan rerumputan, lalu dijadikanNya rumput-rumput itu kering kehitam-hitaman." (Al-A'la, 87:4-5)
Setiap sesuatu pasti ada penghujungnya. Kehidupan, akan berakhir dengan kematian, tiada makhluk yang akan kekal selamanya, Ya Hayyu Ya Qayyum!
Seorang ibu itu, tak pernah jemu mengajar.
Seorang ibu itu, tak pernah mengenal erti kalah.
Seorang ibu itu, tak pernah kering dari kasih-sayang.
Seorang ibu itu, tak pernah kenal erti susah payah.
Seorang ibu itu, tak pernah ada rasa bosan.
Seakan mimpi, tidak pernah kami membayangkan akan melalui saat ini. DitarikNya nikmat yang paling kami cintai di dunia, bukan untuk sesuatu yang sia-sia pastinya. Aku yakin banyak hikmah yang tersembunyi, berfikirlah duhai hati..
Ummi adalah naqibah aku yang pertama. Ya, dia yang memperkenalkanku pada tarbiyyah. Dulu, aku tidak seperti adik-beradikku yang lain, liarku berbeza. Aku bertuah kerana ummi sangat sensitif, disergahnya aku, dileterinya aku, dicubitnya aku, supaya aku tidak jauh tersasar. Setiap minggu aku dibawanya ke usrah, sehingga tidak ada sekelumit peluang untuk melarikan diri. Dan aku dibinanya sendiri.
Ummi sedaya upaya cuba membuatkan kami tidak bergantung pada tarbiyyah, tetapi memerlukan dan sentiasa dahagakan tarbiyyah. Malah pada usiaku 20 tahun, ummi masih lagi bersusah-payah mengikuti setiap langkah jiwaku, tidak dibenarkannya aku terkontang-kanting sendirian.
Aku kagum dengan ummi. Sehingga ke saat akhir hidupnya, sehingga saat rohnya terpisah dengan jasad dan berpindah ke alam seterusnya, dia masih memberikan pengajaran kepada orang di sekelilingnya. Jiwa pejuangnya sentiasa membara dan berkobar-kobar, tanpa pernah rehat.
Kerapkali emosi mendahului akal, hatinya aku calari, hatinya aku robekkan, kata-katanya tidak aku endahkan. Namun, ummi tak pernah gagal menundukkan aku. Egoku dirampas, dijatuhkannya sehingga pecah berkecai-kecai. Aku dididiknya agar tidak menjadi hamba dunia.
Ummi terlalu istimewa. Allah lebih menyayanginya, dijemputnya pergi mendahului kami untuk bertemu kekasih yang dirindui. Kami meredhai pemergiannya, bersedih bukanlah satu pilihan biarpun rohku bagaikan ditarik-tarik sama. Masih jauh perjalanan kami, masih banyak yang boleh kami lakukan untuk kebahagian akhiratnya..
"Apabila mati anak Adam, maka telah terputuslah amalannya melainkan 3 perkara; sedekah jariah, ilmu yang dapat memberi manfaat, dan anak soleh yang mendo’akannya." (Hadith riwayat Imam Al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, Tirmidzi dan An-Nasa'i)
Ummi, tidak akan sesekali kami melupakanmu.
Tidak akan sesekali kami mempersiakan segala usahamu.
Berbahagialah Sa'diyah bt Pakeh Samek, berbahagialah Osman b Nordin, kerana kalian mempunyai anak sepertinya.
"Your mum was a dear friend, a good listener,
a remarkable lady, a dedicated teacher,
a loving mother and most of all a god-fearing person.
My heart felt condolences to you and family."
Wahai tentera Allah bertahanlah,
Jangan menangis walau jasadmu terluka,
Sebelum engkau bergelar syuhada,
Tetaplah bertahan dan bersiap siagalah.